Luar Negara Berita

Matyo, Dominic Tan kekal di Liga Thailand

Norshahrul Idlan Talaha dan Dominic Tan akan terus kekal bersaing di Liga Thailand selepas bersetuju dengan pemotongan gaji pasukan masing-masing.

Matyo bersetuju untuk meneruskan kontraknya di BG Pathum United dengan membuat pemotongan mata sehingga 30 peratus selama tempoh tiga bulan, manakala Dominic membuat pemotongan gaji sehingga 50 peratus dalam tempoh lima bulan bersama Police Tero FC.

“Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) ada keluarkan kenyataan, di mana semua kelab perlu melakukan pemotongan gaji pemain sehingga 50 peratus,” kata Matyo kepada Astro Arena.

“Saya faham situasi ini kerana ia dihadapi di seluruh dunia, jadi saya terima sahaja apa yang sudah dibincangkan antara FAT dan FIFA.”

Namun, Matyo menjelaskan pemotongan gaji tersebut dibuat dengan bersyarat.

“Pemotongan gaji telah dibuat sejak bulan lalu. Saya dan kelab ada berbincang mengenai pemotongan gaji sebanyak 30 peratus selama tiga bulan.

“Kami juga ada berbincang tentang insentif jika pasukan dapat menduduki kelompok tiga terbaik dalam liga, pemotongan sebelum ini akan diberikan semula.”

Dominic pula membuat pemotongan gaji 50 peratus antara April hingga Ogos tetapi bayaran gaji penuh akan diterima sebaik sahaja Liga Thailand bermula pada September.