Malaysia Berita

FAM lebih berhati-hati ambil pemain warisan

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menegaskan pihaknya mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam soal pengambilan pemain warisan negara seperti Harry Edge dan Marcel Kalonda.

Katanya, selain bukti dokumentasi, Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM akan menilai kualiti pemain bagi memastikan mereka memenuhi syarat teknikal ditetapkan.

“Kita menerima banyak dakwaan mengatakan pemain-pemain tertentu mempunyai pertalian dengan rakyat negara ini, dan apabila pemeriksaan lanjut dilakukan oleh FAM, mereka jelas tidak mempunyai sebarang bukti dokumentasi yang mengesahkan mereka mempunyai pertalian dengan rakyat negara ini,” katanya kepada Bernama.

“Tidak semestinya nama mereka keluar di laman sosial, kita akan mengambil mereka selaku pemain naturalisasi. Mereka masih perlu melalui beberapa proses yang ditetapkan oleh FAM seperti kualiti permainan mereka untuk pertimbangan sewajarnya.”

Stuart turut mengesahkan FAM sudah menghubungi Edge dan Kalonda dan meminta mereka menghantar bukti dokumentasi dalam tempoh terdekat untuk dinilai oleh pihak jawatankuasa.

Edge yang dilahirkan di New Zealand, kini beraksi dengan kelab Sweden, Torslanda IK, manakala Kalonda yang berasal dari Congo dan kini bermain di Liga Zambia.