Malaysia Berita

Harimau Malaya rancang adakan kem latihan lebih awal

Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya berancang untuk membenarkan Tan Cheng Hoe memanggil pemain lebih awal bagi menyertai kem latihan pusat pada bulan September.

Katanya, FAM mengambil serius cadangan tersebut kerana Malaysia berkemungkinan akan mengharungi perlawanan persahabatan menentang Bahrain pada 8 Oktober, sebelum bertemu UAE.

“Cadangan sesi latihan September depan merupakan salah satu inisiatif yang bagus untuk memastikan kecergasan permainan dalam kalangan pemain negara,” katanya kepada Astro Arena.

Cadangan itu adalah berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh FIFA, iaitu 5 hingga 13 Oktober 2020.

Setiausaha Agung FAM turut mengesahkan perkara tersebut.

“Kami akan membuat panggilan kebangsaan awal sedikit bagi memastikan pemain kebangsaan mempunyai masa untuk bersama.

“Dengan itu, kami boleh mengharungi salah satu perlawanan persahabatan seperti yang dicadangkan, antaranya menentang Bahrain di tempat lawan sebelum kami berdepan UAE.

Stuart turut mendedahkan FAM sudah mencapai kata sepakat dengan MFL bagi membolehkan skuad kebangsaan mempunyai masa untuk menjalani latihan pusat.

“Ia tidak akan bercanggah dengan kalendar liga tempatan untuk memastikan tarikh yang diperlukan Cheng Hoe.

Skuad Harimau Malaya dijangka meneruskan tiga perlawanan pusingan kedua kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini yang sebelum ini terpaksa ditangguhkan ekoran penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, AFC masih belum mengumumkan sebarang tarikh rasmi namun, badan bolasepak Asia itu dijangka membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.

Malaysia masih ada baki tiga perlawanan iaitu menentang UAE, Vietnam dan Thailand dan kini skuad negara menduduki tempat kedua dalam kumpulan G dengan 9 mata selepas 5 perlawanan.