Liga Premier Malaysia Berita

Tabung selamatkan Kelantan FA kutip lebih RM4,000

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid mendedahkan sebanyak sumbangan sebanyak RM4,197.29 sudah berjaya dikutip dalam tempoh tidak sampai 48 jam tabung “Derma Atas Talian Selamatkan Bolasepak Kelantan” dilancarkan.

Katanya, ia meliputi sumbangan kecil antara RM1 hingga RM10 daripada hampir 2,000 penderma.

“KAFA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma, ia sesuatu perkembangan positif, tidak sampai dalam tempoh 48 jam boleh cecah jumlah penderma hampir 2 ribu penderma,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

“Ini membuktikan peminat dari akar umbi sayangkan pasukan Kelantan FA, Walaupun jumlah kecil dari setiap penderma purata, alhamdulillah syukur sangat-sangat, bayangkan jika penderma boleh mencecah ratusan ribu orang.

“Saya bagi pihak KAFA ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada penderma-penderma dan sesiapa sahaja yang memberi sokongan, dan yang kami terharu derma juga datang dari penyokong-penyokong pasukan lain seperti penyokong Kedah FA.”

Muzakkir turut mendedahkan Persatuan Bola Sepak Jajahan Jeli juga menderma RM1,000 kepada KAFA.

Beliau bagaimanapun enggan mempedulikan kritikan sesetengah pihak terhadap tindakan persatuan meminta bantuan secara terbuka, sebaliknya hanya mahu membantu menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

“Saya tidak mahu menunding jari pada mana-mana pihak.

“Cuma terfikir macam mana kontrak pemain lama boleh berjalan walaupun mereka tidak bersama lagi, kena bayar lebih setengah juta, kes lama ini sebelum saya masuk KAFA lagi. Apapun doakan usaha ini berjaya… sama-sama kita bantu KAFA.”