Liga Super Malaysia Berita

Kedah mahu berlatih semula di padang Julai ini

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin mendedahkan pasukannya berancang untuk memulakan latihan seawal bulan Julai, jika mendapat kelulusan pihak KFA, FAM dan MFL.

Katanya, ini bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan bersedia jika Liga Malaysia dibenarkan bersaing semula pada September ini.

“Kami merancang untuk kembali mengadakan latihan pasukan dengan kumpulan kecil setiap sesi dan berlangsung secara tertutup. Perancangannya adalah awal Julai,” katanya kepada Arena Metro.

“Namun perancangan itu masih dalam perhatian dan tertakluk kepada kelulusan yang akan diberikan oleh beberapa pihak seperti KFA, FAM dan MFL dengan SOP baharu yang akan diperkenalkan.

“Kami tetap akur dengan apa sahaja keputusan berkaitan peraturan yang akan diputuskan nanti, sama ada dibenarkan berlatih atau perlu ada perubahan kerana keputusan yang akan dibuat nanti adalah demi kebaikan dan keselamatan semua.”

Aidil turut menjangkakan garis panduan sesi latihan akan diperkenalkan tidak lama lagi.

“Kami menjangkakan satu garis panduan yang ketat akan dikeluarkan dan saya yakin semua pemain bersedia melaksanakan peraturan latihan yang ditetapkan.”

Setakat ini, Kedah hanya menjalani latihan di rumah masing-masing sambil dibantu aplikasi video bagi mendapatkan panduan daripada jurulatih.