Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia 2020 hanya dibenarkan sambung semula pada bulan Oktober atau November

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui musim Liga Malaysia 2020 hanya boleh dibenarkan sambung semula selewat-lewatnya pada bulan Oktober atau November, iaitu hujung tahun ini.

Katanya, FAM mahu memulakan semula semua pertandingan pada bulan Jun, namun Ismail menganggap tarikhnya terlalu awal dan terlalu hampir dengan tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Perhimpunan dan sukan berkumpulan mungkin tidak dibenarkan tetapi kita tengok tarikhnya,” katanya dalam sidang media harian.

“Saya difahamkan pertandingan akan bermula pada bulan Jun tapi saya kira ia terlalu rapat kalaupun PKP ditamatkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

“Mungkin terlalu awal untuk kita benarkan. Katakan PKP tamat pada Jun dan pertandingan pada Oktober atau November dengan SOP seperti yang disebutkan iaitu tanpa penyokong dan sebagainya, mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan.”

Malaysia sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan saingan liga memandangkan tiada seorang pemain pun yang dijangkiti wabak COVID-19 mahupun mana-mana pihak dalam bolasepak Malaysia sehingga ke hari ini.

Malah, beberapa negara seperti, China, Korea Selatan, Itali dan Jerman yang mempunyai jumlah kes COVID-19 jauh lebih tinggi berbanding Malaysia, sudah memulakan latihan pasukan, dengan mengadakan ujian saringan COVID-19 terhadap pemain dan mengamalkan penjarakan sosial.

Ismail bagaimanapun masih mahu mendapatkan pandangan sewajarnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Nasihat KKM masih diperlukan. Selepas kita dapat cadangan FAM atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kita akan teliti perkara ini.”