Liga Super Malaysia Berita

David Rowley jatuh cinta dengan loghat Kedah

Pemain Kedah, David Rowley mendedahkan beliau sedang berusaha untuk menguasai bahasa Melayu ketika perintah kawalan pergerakan ketika ini, malah sudah mula berjinak-jinak dengan loghat Kedah.

Pemain berusia 30 tahun itu berasal dari Australia dan fasih berbahasa Inggeris dan Jerman.

Namun sejak menetap di Malaysia, Rowley tertarik untuk mempelajari bahasa kebangsaan.

Setiap hari selepas menjalani latihan kecergasan stamina di rumah, Rowley akan meluangkan masa mempelajari bahasa Melayu.

“Saya akan berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia setiap kali saya keluar ke pasar,” katanya kepada BH Sukan.

“Saya juga sudah biasa dengan loghat Kedah sewaktu bersama rakan sepasukan dan saya rasa apa yang penting adalah usaha untuk memperbaikinya setiap hari.

“Antara loghat Kedah yang saya gemar sebut adalah ‘Nyoq’ (kelapa) dan ‘Tidoq’ (tidur).”

Rowley berkata, beliau turut menggunakan YouTube sebagai platform untuk menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.

“Selain merujuk kepada ibu saya setiap kali kami berhubung, saya juga memilih saluran YouTube iaitu Sierra Lisse dan Lobak Merah yang mana melalui pelajaran yang lebih jelas.

“Ini akan memudahkan saya melakukan catatan dan bahan rujukan bagi membantu kefahaman dengan lebih cepat serta mudah.”

Walaupun Rowley pernah menetap di Kelantan dan Negeri Sembilan, nampaknya pemain kacukan itu benar-benar sudah jatuh cinta dengan Kedah.