Tatkala kesemua pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Liga Malaysia berada di rumah sepanjang perintah kawalan pergerakan, 14 pemain PDRM berkhidmat di barisan hadapan bagi membantu negara melawan wabak koronavirus daripada terus berleluasa.
Antara pemain tersebut adalah kapten pasukan, Khairul Izuan Abdullah, Mohd Safiee Ahmad, Amir Saiful Badeli, Muhamad Eskandar Ismail, Ahmad Nizam Mohd Rodzi dan Hariz Irffan Mohd Nazri.
Kesemua pemain tersebut terdiri daripada anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Bukit Aman, Pulapol dan Pulau Pinang.
Malah, penolong jurulatih dan barisan staf pasukan serta barisan kejurulatihan pasukan Piala Presiden PDRM turut sama turun padang.
“Kami hormat dan hargai jasa serta menyanjung tinggi pengorbanan pemain kami daripada kalangan anggota ini,” kata jurulatih PDRM, Ishak Kunju kepada Arena Metro.
“Mereka sanggup mengetepikan kepentingan peribadi, meninggalkan anak isteri, makan minum tidak begitu terjaga demi menggalas misi negara di barisan hadapan.
“Kami bangga dengan sikap mereka yang sedia berkhidmat untuk negara pada bila-bila masa walaupun sentiasa terdedah dengan jangkitan virus.
“Doa daripada rakyat Malaysia dipohon bagi memastikan pemain dan barisan kejurulatihan serta seluruh barisan hadapan negara termasuk anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selamat daripada ancaman wabak itu.”
Kata Ishak lagi, kesemua pemain PDRM yang terlibat diberikan kelonggaran daripada menjalani program latihan khusus dalam mengekalkan kecergasan pemain.
“Kami doakan mereka bebas daripada wabak itu sebaik kembali bagi menggalas misi pasukan pula dalam saingan Liga Malaysia.”