Malaysia Berita

FAM: Malaysia mungkin beraksi menentang New Zealand

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sedang menunggu jawapan rasmi dari New Zealand untuk mengadakan perlawanan persahabatan buat skuad kebangsaan selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda akibat penularan COVID-19.

“Ada yang kita hubungi tidak dapat buat perlawanan, mungkin atas faktor COVID-19 atau mungkin juga mereka sudah mengatur perancangan lain,” katanya kepada BH Sukan.

“Kita sudah berhubung dengan beberapa negara termasuk Filipina, Singapura dan India, tapi kita nampak ada sedikit cahaya mungkin New Zealand. Namun mereka masih belum lagi memberikan jawapan secara rasmi.

“Sekurang-kurangnya kita dapat mencari satu pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Malaysia.”

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata Malaysia diletakkan dalam zon merah mengenai isu COVID-19 oleh beberapa negara, sekali gus menyukarkan FAM untuk mendapatkan perlawanan persahabatan.

“Berkenaan COVID-19 saya sudah berhubung dengan setiausaha agung persatuan bola sepak negara lain dan Malaysia dikategorikan sebagai zon merah yang mana mungkin mereka tak boleh datang ke sini, atau kalau mereka datang, mungkin pemain mereka tak boleh balik ke negara tempat mereka beraksi.

“Contoh pemain Korea yang bermain di England tak boleh balik ke Korea, kalau balik Korea tak boleh masuk balik England.

“Perkara ini agak rumit, bukan isu pasukan itu boleh datang atau tidak ke Malaysia, tapi individu mungkin tak boleh datang. Walaupun FIFA bagi ruang buat aksi persahabatan, tapi kita pun kena tengok dari sudut antarabangsa.”