Liga Super Malaysia Berita

Kedah mahu menang Unity Shield sebelum bertemu JDT

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin berharap pasukannya dapat mempertahankan Unity Shield edisi 2020 apabila turun menentang Perak esok, sebelum bertemu JDT pada Piala Sumbangsih pada 28 Februari ini.

Pada masa sama, Aidil berharap pasukannya tidak mengambil mudah tentangan daripada Perak memandangkan perlawanan itu akan diadakan di Ipoh.

“Kami sudah tentu mahu melakukan yang terbaik selain mahu mengekalkan rekod memenangi perisai ini seperti dimenangi pada tahun yang lalu,” katanya kepada Sinar.

“Setakat ini pemain cukup fokus, bekerja keras dan mereka tahu apa yang perlu dibuat pada perlawanan tersebut.

“Kami akan berusaha untuk menang tetapi dalam masa sama juga mahu mengelakkan kecederaan bagi menghadapi JDT untuk merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah minggu depan.”

Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata Unity Shield menjadi perlawanan pemanas badan yang baik sebelum bertemu JDT.

“Saya melihat keserasian pasukan baru berada pada tahap 60 peratus dan kami akan berusaha gigih memantapkannya lagi menerusi latihan dan perlawanan akan datang.”