Liga M3 Berita

Hafiz Kamal mahu hidupkan kembali karier di Liga M3

Beberapa tahun lalu, Hafiz Kamal merupakan pemain tengah utama di Pahang. Kini, beliau bakal beraksi dengan Kuala Lumpur Rovers di saingan Liga M3.

Pemain berusia 32 tahun itu bergelut dengan kecederaan di bahagian lutut kiri selama satu tahun setengah sejak beraksi di Perak pada 2017.

Disebabkan kecederaannya, prestasinya tidak menentu dan beraksi hanya beberapa kali sebagai pemain gantian di PKNP FC pada musim lalu.

Namun, Hafiz percaya beliau dapat menghidupkan kembali karier bolasepaknya di KL Rovers.

“Sebenarnya saya ambil keputusan untuk bermain bersama KL Rovers untuk mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama kerana tahun lepas saya jarang beraksi,” katanya kepada MFL.

“Di sini, saya harap dapat memperbaiki corak permainan saya dan memang sasaran saya untuk bantu pasukan layak ke Liga Premier nanti.

“Bagi saya, Liga M3 tetap ada nilai yang tersendiri kerana walaupun sebelum ini saya pernah bersama pasukan hebat di Liga Super dan Premier, tetapi Liga M3 boleh dilihat tetap menjadi rebutan pemain-pemain muda dan pemain senior lain juga.”

Hafiz akan beraksi buat pertama kali pada musim ini apabila akan berdepan pasukan amatur Klasiko FC dalam pusingan kelayakan Piala FA 2020, Ahad ini.