Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe mahu Liridon Krasniqi kembali ke prestasi terbaik

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengharapkan supaya Liridon Krasniqi kembali ke prestasi terbaik yang beliau pernah pamerkan ketika beraksi di Kedah, selepas disahkan sebagai warganegara Malaysia.

Cheng Hoe mempunyai sebab untuk meletakkan harapan tinggi kepada pemain berusia 28 tahun itu, kerana beliaulah yang bertanggungjawab mengetengahkan Liridon ketika beliau masih lagi jurulatih Kedah sehingga membantu pasukannya menjuarai Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Kalau ditakdirkan satu hari nanti Liridon bermain bersama pasukan negara, ia satu impak terbaik kepada pasukan kerana beliau mempunyai karakter dan permainan yang bermotivasi tinggi sekali gus memberi perkembangan positif di bahagian serangan pasukan,” katanya kepada Bernama.

“Kita tahu semasa di Kedah beliau bermain begitu baik dan merupakan jentera peledak pasukan selain bekerja keras dalam setiap latihan dan perlawanan. Jadi saya harap beliau teruskan sumbangan itu bersama pasukan kebangsaan nanti.”

Namun, Cheng Hoe mahu memantau terlebih dahulu bagaimana prestasi Liridon ketika bersama JDT pada musim ini, sebelum membuat keputusan untuk menyenaraikan pemain itu dalam skuad kebangsaan.

“Daripada segi fizikal, taktikal dan teknikal, Liridon telah meningkat tetapi kita kena pantau dahulu prestasinya bersama JDT dalam saingan Liga-M musim ini kerana hampir setahun beliau tidak beraksi secara kompetitif.”

Liridon berpeluang untuk beraksi menentang UAE, namun perlu menunggu pengesahan daripada FIFA dapat melalui proses pendaftaran pemain yang berakhir pada 20 Mac ini.