Berita AFC Champions League

AFC adakan mesyuarat tergempar mengenai jadual ACL

Susulan daripada wabak koronavirus yang melanda di beberapa negara di Asia ketika ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengadakan satu mesyuarat tergempar esok untuk membincangkan kemungkinan menjadualkan semula perlawanan AFC Champions League.

Menurut laporan dari Bernama, mesyuarat yang dijadualkan di ibu pejabat AFC di Kuala Lumpur akan melibatkan keseluruhan pemegang kepentingan, persatuan-persatuan ahli, liga, kelab dan agensi komersial yang menyertai kejohanan tersebut.

“Mesyuarat itu akan membincangkan kesan kekangan perjalanan yang dilaksanakan pelbagai kerajaan berikutan penularan wabak koronavirus dan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan wabak itu sebagai satu darurat kesihatan awam.

Selaku badan pentadbir bola sepak di Asia, AFC komited untuk menjaga pertandingan ini dan membuat perancangan yang wajar dan sesuai, termasuk tetapi tidak terhad kepada penjadualan semula perlawanan di Zon Timur,” kata AFC dalam satu kenyataan.

Setakat ini, perlawanan AFC Champions League melibatkan Perth Glory yang akan bertemu Shanghai Shenhua pada 11 Feb serta Sydney FC menentang Shanghai SIPG pada 12 Feb tidak dapat diadakan.

JDT selaku wakil Malaysia masih mengikut jadual seperti biasa dan akan bertemu wakil Jepun, Vissel Kobe pada 12 Feb ini.

Namun status bagi perlawanan menentang kelab China, Guangzhou Evergrande masih belum diketahui.