Liga Super Malaysia Berita

Victor Anichebe enggan sertai Melaka United kerana masalah gaji pemain

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li meluahkan kekecewaannya apabila kenyataan yang dikeluarkan bekas kapten pasukan, Shukor Adan menyebabkan beberapa pemain import serta bekas pemain Liga Inggeris, Victor Anichebe enggan meneruskan rundingan dengan pihak pengurusan bagi saingan musim depan.

“Mesti lari, saya tidak akan bagitahu siapa, tetapi antaranya ialah bekas pemain Everton, Victor Anichebe yang sedang kita runding,” katanya kepada Melaka Kini.

“Walaupun agak mahal, terus terang saya cakap ia berada dalam bajet MUSA, kerana kita tidak mengambil pemain import kelima, jadi bajetnya dapat kita tumpukan terhadapnya. Sekarang, MUSA terpaksa mendapatkan pemain import lain.”

Malah, beliau ingin Shukor bertemu dengannya dan memohon maaf kepadanya terlebih dahulu selepas pemain berusia 40 tahun itu menfailkan afidavit terhadap persatuan mengenai tuntutan gaji musim lepas.

“Memang dia ada hak, saya tidak nafikan, tetapi ia akan melambatkan pembayaran gaji kepadanya.

“Kita mungkin akan bayar habis tunggakan musim 2019 pada 15 Januari depan atau sekurangnya-kurangnya sebelum Februari.

“Tetapi, bila dia telah failkan afidavit, saya kena jawab dalam tempoh 14 hari dan dia pula kena melakukan perkara sama kemudian yang saya jangkakan akan berpanjangan hingga musim 2020 tamat.

“Cara mudah adalah dia tarik semula kes dan mohon maaf kepada persatuan, sebab itu saya cakap Shukor Adan, if you are playing with fire than I shall give you fire.”

Damian mengakui tunggakan gaji pemain akan mengambil masa untuk dilangsaikan, namun beliau menganggap tindakan Shukor menyerang Melaka di media sosial keterlaluan.

“Kena faham, bukan kita tak mahu bayar, tetapi ia mengambil masa.

“Pelbagai kata diberikan kepada saya termasuk hanya ‘bising’ di media sosial, ‘so what’, kamu hanya Shukor Adan yang dah berumur 40 tahun, anak Melaka tetapi bila umur hampir mencecah 40 tahun baru datang ke Melaka, ia tidak adil.”