Eropah Berita

[VIDEO] Chamberlain terpaksa diketepikan

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan bahawa pemain tengah, Alex Oxlade Chamberlain akan terlepas baki dua perlawanan pada tahun ini ekoran kecederaan yang dialami. Chamberlain ditimpa kecederaan pergelangan kaki yang memaksa pemain itu dikeluarkan pada perlawanan akhir Kejohanan Kelab Piala Dunia menentang Flamengo.

Ianya bermakna pemain tersebut akan terlepas dua baki perlawanan menentang Leicester City dan Wolverhampton Wanderers pada tahun ini. Namun begitu, tempoh pemulihan pemain ini masih belum diputuskan kerana ia bergantung kepada keadaan semasa.

Klopp menerangkan salah satu daripada tiga ligamen yang terdapat pada pergelangan kaki Alex Oxlade Chamberlain telah cedera. Tempoh pemulihan akan diumumkan kemudian kerana kecederaan ini agak rumit.

Sementara itu, berita baik buat skuad Liverpool adalah berkaitan tiada penambahan pemain yang cedera buat masa ini. Dejan Lovren, Joel Matip, dan Fabinho sedang mengalami proses pemulihan dengan baik. 

Liverpool akan berkunjung ke Stadium King Power pada awal pagi esok untuk meneruskan misi tanpa kalah dan terus menjarakkan kedudukan di puncak liga.