Kolum Eropah

[VIDEO] Pep beri lampu hijau kepada Arteta

Ketua Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola memberi isyarat bahawa pembantunya, Mikel Arteta bakal meninggalkan kelab untuk menjadi pengendali utama Arsenal dalam masa terdekat. Arteta mula berkhidmat bersama City dan menjadi pembantu kepada Pep pada 2016.

Pep juga mengesahkan Arteta ada berjumpa untuk berbincang mengenai tawaran tersebut bersama wakil pihak Arsenal. Selain Arteta, nama lain yang dikaitkan dengan Arsenal ialah bekas pengendali Napoli, Carlo Ancelotti.

Namun begitu, difahamkan pihak Arsenal inginkan seorang jurulatih yang bukan sekadar mengurus. Jika dilihat pada rekod, Arteta memiliki kelebihan kerana pernah bermain di bawah kendalian Arsene Wenger yang menerapkan falsafah bola sepak yang sesuai dengan skuad The Gunners. 

Mikel Arteta pernah bermain bersama Arsenal selama lima musim dibawah Arsene Wenger. Dia juga merupakan ketua pasukan pada tahun 2016 sebelum mengambil keputusan untuk bersara. Setakat ini, nama Arteta diletakkan di tangga teratas sebagai calon pengganti Unai Emery.

Dalam pada itu, Arsenal kini dikemudi secara sementara oleh Freddie Ljungberg dan selepas lima perlawanan, hanya mampu mencatat satu kemenangan. Tindakan drastik perlu dilaksanakan segera oleh pihak pengurusan Arsenal jika masih mengidamkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.