Berita AFC Champions League

JDT tidak tertekan dengan Guangzhou Evergrande, Suwon Bluewings

Walaupun Johor Darul Takzim (JDT) diundi bersama dua bekas juara AFC Champions League, Guangzhou Evergrande dan Suwon Bluewings, Luciano Figueroa menganggap JDT tidak berasa tertekan.

Malah selaku pengurus skuad Harimau Selatan, Luciano percaya sasaran yang ditetapkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi penyuntik semangat dalam misi melangkah lebih jauh pada musim akan datang.

“Saya rasa sangat bagus untuk memiliki tekanan sebegini. JDT adalah pasukan yang besar dan jika anda berada di pasukan yang besar, sudah pasti akan ada tekanan.

“Namun kami akan terus berpegang kepada objektif kami untuk memberikan yang terbaik supaya dapat mara ke pusingan seterusnya.”

Sebelum ini, TMJ mahu JDT melepasi peringkat kumpulan sekali gus mara ke pusingan kalah mati bagi saingan ACL 2020.

Pada masa sama, Luciano berkata JDT banyak mempelajari pelbagai perkara termasuklah aspek persefahaman dan strategi berdepan pasukan yang memiliki kelebihan dari segi kualiti pemain.

“Kita ada pemain yang bagus dan keserasian antara mereka juga sudah berada pada tahap yang sangat baik. Semuanya berjalan lancar dan kami sedang bersedia untuk mengharungi sesi pramusim sebelum berdepan musim baharu.

“ACL adalah saingan tertinggi di Asia dan kita perlu terus meningkatkan lagi prestasi dan menjadi bertambah baik dalam semua aspek. Pemain juga sudah faham apa yang diperlukan dan tahu cara untuk menentang pasukan yang kuat.”