Liga Super Malaysia Kolum

Selepas lebih 10 tahun, Nazrin Nawi akhirnya bakal berbakti di Kelantan

Pada usia 31 tahun, Nazrin Nawi dilaporkan akan menyertai pasukan negeri kelahirannya Kelantan dan dijangka pengumuman dibuat pada 15 Disember ini.

Ini satu perkhabaran yang luar biasa, terutamanya bagi peminat Kelantan yang cukup mengetahui kisah Nazrin yang sepatutnya menyertai The Red Warriors pada 2014, namun akhirnya membuat keputusan untuk ke JDT.

Ketika itu, Nazrin merupakan pemain yang sedang popular apabila menunjukkan aksi memberangsangkan bersama Negeri Sembilan.

Malah, prestasinya juga menarik perhatian jurulatih skuad kebangsaan ketika itu, K. Rajagobal yang sering menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama.

Prestasinya menyebabkan banyak kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, tetapi Kelantan mula bertindak menawarkan memorandum persefahaman (MoU) dan ia dipersetujui oleh Nazrin.

Ia berita menggembirakan buat peminat Kelantan, tetapi kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Nazrin membuat keputusan untuk membatalkan MoU tersebut untuk menyertai JDT.

Kebanyakan peminat Kelantan ketika itu cukup terkilan apabila gambar Nazrin berada di Larkin tersebar di media sosial, sebelum Nazrin mengumumkan statusnya sebagai pemain JDT.

Nazrin menganggap keputusan beliau menyertai JDT adalah tepat dan mahu beraksi bersama pemain-pemain terkemuka, termasuklah Pablo Aimar.

Keputusannya sememangnya dilihat tepat.

Sepanjang dua musim berada di JDT, Nazrin merupakan pemain pilihan Bojan Hodak dan diikuti Mario Gomez, memenangi lima piala termasuklah Liga Super, Piala FA dan Piala AFC.

Namun, Nazrin bukan lagi pemain pilihan utama Mario Gomez pada musim 2016 dan akhirnya berhijrah ke Perak selama dua musim.

Ketika di Perak, Nazrin memainkan watak penting apabila membantu The Bos Gaurus menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua liga sebelum memenangi Piala Malaysia pada 2018.

Nazrin menyertai Melaka United pada tahun ini, dan turut menjadi watak penting di negeri Hang Tuah itu.

Namun, masalah kewangan yang dihadapi Melaka mungkin menjadi faktor Nazrin meninggalkan pasukannya.

Selepas bertahun-tahun berhijrah dari satu negeri ke satu negeri lain, anak jati Tumpat ini akhirnya bakal menabur bakti di negeri sendiri.

Mungkin Nazrin mengambil masa yang lama untuk kembali ke Kelantan, tetapi ia bukanlah satu perkara yang buruk.

Bak kata pepatah Inggeris, better late than never.