Eropah Berita

Pep dan Ole satu suara

Isu Rasis dalam sukan bola sepak bukan lagi satu perkara yang asing. Serangan yang telah diterima oleh beberapa pemain seperti Romelu Lukaku, Chris Smalling, dan Mario Balotelli dalam saingan Serie A Itali. 

Pada hujung minggu lalu, satu lagi laporan mengenai isu rasis telah berlaku ketika pertembungan musuh setempat Manchester United dan Manchester City. Perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada United itu telah dicemari dengan insiden rasis yang tidak diingini. 

Insiden tersebut yang tular di laman sosial Twitter itu mula mendapat respon serius daripada pihak berkuasa. Malah, Manchester City juga mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut melalui satu hantaran di laman sosial rasmi Twitter pasukan. 

Insiden penyokong pasukan tuan rumah, City yang mempamerkan aksi isyarat yang berbaur rasis terhadap pemain The Red Devils itu sangat memalukan. Ketua Jurulatih, Pep Guardiola turut menyokong dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kelab sejurus selepas perlawanan.

‘Saya bersetuju dengan apa yang dikeluarkan oleh kelab. Saya berharap ianya akan selesai dan tidak berulang lagi. Saya percaya pihak berkuasa dan kelab akan melakukan tindakan yang tepat’, katanya lagi.

Sementara itu, Ole Gunnar Solksjaer selaku pengendali Manchester United menjelaskan dua pemainnya Jesse Lingard dan Fred menjadi mangsa ketika mereka sedang berada di penjuru padang untuk mengambil tendangan penjuru.

‘Kami sentiasa membincang tentangnya setiap minggu. Dia berada dalam rakaman video. Pada pendapat saya, dia tidak seharusnya dibenarkan untuk berada di tepi padang lagi pada masa akan datang’, tegasnya pula.

Ole berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarmya untuk mengelakkan perkara sama berulang.