Kolum Eropah

Juventus kecundang jua…

Juventus akhirnya kecundang selepas ditewaskan Lazio 3-1 di gelanggang lawan dalam aksi Serie A Itali. Walaupun mendahului pada babak pertama menerusi gol tampanan mudah Cristiano Ronaldo.

Namun, skuad bimbingan Simone Inzaghi berjaya bangkit dengan tiga gol sekaligus memberi tiga mata berharga. Lazio kini di kedudukan ketiga liga, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan.

Juventus yang merupakan penyandang juara Serie A pada musim lepas akhirnya tewas buat kali pertama dalam saingan liga dibawah bimbingan Maurizio Sarri selepas mengharungi 15 perlawanan.

Ternyata, kehadiran pemain pertahanan muda Belanda, Mathijs de Ligt tidak begitu membantu benteng pertahanan untuk menjadi kebal. Juventus bernasib baik tidak diaibkan apabila penjaga gol, Wojciech Szcsesny bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti dan beberapa percubaan bahaya pada separuh masa kedua.

Berkemungkinan besar, taktikal dan strategi yang diguna pakai oleh Maurizio Sarri telah dapat dibaca oleh pasukan lain. Tambahan pula, Juventus juga telah diikat oleh pasukan di tangga ke-14, Sassuolo pada minggu lepas 2-2.

Oleh itu, kini hanya Liverpool sahaja pasukan di eropah yang masih belum mencatat sebarang kekalahan selepas mengharungi 16 perlawanan dan kekal unggul di puncak liga dengan pungutan 46 mata.