Kehebatan penyerang berbisa Kipre Tchetche dalam bolasepak tempatan sememangnya diakui pelbagai pihak, namun disebabkan itu juga, penyerang baharu Terengganu Dominique Da Sylva berada dalam tekanan untuk mempamerkan prestasi sehebat Kipre.
“Saya bukan datang untuk menggantikan seseorang. Saya hanya melaksanakan tugas saya dan lihat apa yang saya boleh lakukan untuk Terengganu.
“Saya telah menyaksikan banyak perlawanan Kipre sebelum ini dan beliau adalah pemain yang bagus. Tetapi saya bukan datang untuk melakukan sesuatu yang sama dengannya.”
Pemain berusia 30 tahun yang berasal dari Mauritania itu pernah beraksi di kelab gergasi Mesir, Al-Ahly dan memenangi Liga Juara-juara Afrika dua kali berturut-turut, pada 2012 dan 2013.
Dominique Da Sylva akan disertai seorang lagi pemain import Afrika yang akan bermain di barisan pertahanan pasukan.
Ketua jurulatih Terengganu, Mohd Nafuzi Zain berkata kehadiran pemain tersebut diharap dapat mengukuhkan kubu pertahanan skuad Penyu bagi menghadapi saingan liga musim depan.
“Kita juga sedang menunggu kepulangan Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov yang kini sedang bercuti di negara masing-masing.
Nafuzi bagaimanapun menafikan pemain import terakhir ialah Fode Kufour Camara seperti yang tersebar di media sosial.