Eropah Berita

Pepe akui permulaan buruk

Pemain sayap antarabangsa Ivory Coast, Nicolas Pepe mengakui pemergian bekas ketua jurulatih, Unai Emery sedikit ‘menyakitkan’ dan permulaan karier bersama Arsenal tidak seperti yang diharapkan.

Goal.com melaporkan pemain termahal Arsenal itu yang menyertai skuad The Gunners pada jendela perpindahan musim yang lepas gagal untuk mengulangi kecemerlangan seperti yang dilakukan bersama Lille. Pepe mengharungi satu musim yang menakjubkan dengan menjaringkan 23 gol buat Lille pada musim lepas.

Walaubagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu sekadar menjaringkan tiga gol dalam 17 penampilan musim ini merangkumi semua kejohanan. Malah, tiga gol tersebut terdiri daripada satu gol hasil sepakan penalti dan dua lagi menerusi sepakan percuma. Secara rekod, Pepe masih gagal menunjukkan impak yang sebenar di Stadium Emirates.

‘Ianya sesuatu yang pahit apabila kehilangan Unai Emery yang berusaha keras membawa saya ke kelab ini. Kami tidak pernah lupa. Bagi saya, itu sangat memeritkan’, ujarnya lagi.

Pepe juga mengakui akan prestasinya yang agak terumbang-ambing setakat ini. Tambahan pula, dia berkata agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan permainan berintensiti tinggi di England. 

‘Saya rasa mampu untuk beri lebih daripada ini. Saya menerima segala kritikan kerana saya sendiri tidak memberi impak dalam beberapa perlawanan. Saya perlu perbaiki kekurangan secepat mungkin’, tambahnya lagi.

Pepe memuji jurulatih sementara Arsenal, Freddie Ljungberg dengan menyatakan pengendali yang berasal dari Sweden itu membawa impak positif kepada pasukan dan berharap mampu untuk menambat hati seterusnya diturunkan sebagai kesebelasan utama.