Eropah Berita

Messi pilih Mane

Pemenang Anugerah Ballon d’Or, Lionel Messi mendedahkan bahawa beliau mengundi pemain sayap Liverpool, Sadio Mane dan merasakan pemain antarabangsa Senegal itu tidak bernasib baik untuk berada di kedudukan keempat dibelakang Virgil van Dijk dan Cristiano Ronaldo lapor Goal.com.

Messi memuji persembahan mengagumkan Mane sepanjang musim lepas yang mana menyaksikan dia (Mane) berjaya membantu Liverpool untuk merangkul Kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah yang keenam.

Disamping itu, bekas penyerang Southampton itu turut berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lepas bersama-sama rakan sepasukan, Mohamed Salah dan penyerang sensasi Arsenal, Pierre Emerick Aubameyang.

‘Saya rasa terlalu ramai pemain hebat pada tahun ini. Sebab itu ianya susah untuk membuat pilihan. Tetapi saya pilih Sadio Mane kerana dia merupakan jenis pemain yang saya gemari’, katanya lagi.

Terdahulu, Messi merangkul Anugerah Ballon d’Or yang keenam selepas menewaskan pencabar terdekat Virgil van Dijk yang merupakan rakan sepasukan Sadio Mane di Liverpool.

Dalam pada itu, Mane memainkan watak penting dalam membantu Liverpool menewaskan musuh setempat, Everton 5-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris untuk terus selesa di puncak liga.