Malaysia Berita

Safee Sali: Biar kalah di Sukan SEA, jangan kalah di peringkat senior

Penyingkiran awal skuad negara dari Sukan SEA 2019, mengundang kritikan pelbagai pihak, tetapi bekas pemain kebangsaan Safee Sali berpendapat ada hikmah di sebaliknya.

Pemain berusia 35 tahun itu sudah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis sepanjang kariernya sebagai pemain bolasepak, dan padanya kekalahan mengejut itu harus diterima dengan hati terbuka.

“Mereka patut rasa dan terima erti kekalahan di peringkat sekarang (Sukan Sea) supaya tidak menjadi kebiasaan kalah di peringkat senior.”

Bagi Safee, pelbagai alasan diberikan termasuklah peningkatan prestasi pasukan lain dan tempoh persiapan yang terhad, namun skuad negara perlu tetap bertanggungjawab di atas kekalahan memalukan.

“Memang pelbagai alasan boleh diberikan. Faktanya persiapan skuad negara hanya dua minggu dan sukar bentuk persefahaman jitu antara pemain muda dan senior.

Safee juga menganggap penyerang berbakat seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsuddin yang kurang menyerlah perlu melalui kekalahan ini sebagai satu proses ke arah kematangan seorang pemain bolasepak profesional.

“Ini semua proses. Tidak semestinya apa yang kita ada, kita dapat tuai hasil. Ia mengambil masa.”