Kolum Eropah

The Foxes terus asak Liverpool

Skuad bimbingan Brendan Rodgers meneruskan kecemerlangan apabila mencatat kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas bangkit untuk menewaskan Everton 2-1 di halaman sendiri malam tadi.

Pemain gantian, Kelechi Iheanacho muncul wira Leicester City dengan menampilkan impak positif selepas masuk menggantikan Ayoze Perez pada minit ke-62. Enam minit selepas masuk menggantikan Perez, Iheanacho mencipta bantuan gol penyamaan yang dijaringkan oleh Jamie Vardy sekaligus memadam gol pendahuluan Everton yang disumbangkan oleh Richarlison pada babak pertama.

Bekas pemain Manchester City itu sekali lagi mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol kemenangan pada hujung babak kedua untuk memberi tiga mata penuh buat pasukan tuan rumah. Kemenangan ini meletakkan Leicester City kekal di tangga kedua dengan 32 mata, lapan mata dibelakang pendahulu liga, Liverpool.

Enam kemenangan liga yang dicipta oleh Leicester City menggambarkan bahawa mereka begitu serius untuk menjadi pencabar utama liga berikutan prestasi terumbang-ambing yang ditunjukkan pasukan besar lain seperti Manchester United, Arsenal, dan Chelsea.

The Foxes memiliki kelebihan kerana tidak beraksi dalam mana-mana saingan eropah dan mempunyai lebih masa dan tenaga untuk memperbaiki kelemahan dalam pasukan. Jentera tengah yang dikemudi James Maddison dan Youri Tielemans ternyata menjadi senjata utama buat pasukan. Tambahan pula, aksi konsisten yang dipamerkan penyerang utama, Jamie Vardy yang menyumbat lapan gol dalam enam perlawanan terdahulu.

(Photo by Plumb Images/Leicester City FC via Getty Images)

Sementara itu, penyandang Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City terus tercicir mata selepas diikat Newcastle United 2-2 di Stadium St. James Park manakala anak buah Jurgen Klopp terus unggul di puncak liga apabila mudah menewaskan Brighton and Hove Albion 2-1 di gelanggang sendiri.