Malaysia Berita

Sukan SEA 2019: Adam Nor Azlin mahu kata semangat, bukannya kritikan

Kapten skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Adam Nor Azlin mahu penyokong memberikan kata-kata semangat kepada pasukan, bukannya kritikan yang boleh menjejaskan motivasi pemain menjelang perlawanan menentang Timor-Leste, malam ini.

Perkara itu diluahkan selepas Malaysia tewas mengejut 0-1 kepada tuan rumah Filipina pada 29 Nov lalu.

“Sebagai manusia biasa, pemain tidak seharusnya dihina atau dicaci susulan kekalahan itu kerana ia boleh menjatuhkan motivasi pasukan. Kami memang kecewa tetapi saya percaya pemain sudah memberikan apa yang mereka ada.

“Kami hanya mohon doa rakyat Malaysia. Jangan apabila kita kalah pemain dikutuk dan dihina seperti kami tiada maruah. Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik,” katanya.

Syamer Kutty Abba mengakui kekalahan tersebut merupakan prestasi terburuk pasukannya walaupun barisan pemain terdiri daripada pemain yang berkualiti tinggi dan sudah pun bermain di skuad kebangsaan.

“Secara peribadi, memang memalukan kerana taraf kita bukan macam ini. Tidak boleh salahkan sesiapa sebab kita bermain sebagai satu pasukan.

“Memang kita salahkan diri sendiri. Kami bertanggungjawab dengan kekalahan ini. Namun, kami perlu bangkit untuk dua perlawanan seterusnya dan perbaiki kelemahan kami,” katanya.

Malaysia yang kini berada di kedudukan keempat Kumpulan A dengan mengumpul hanya satu mata perlu meraih kemenangan ke atas Timor Leste dan Kemboja untuk layak ke separuh akhir, serta mengharapkan keputusan perlawanan lain memihak kepada skuad negara.