Kolum Eropah

[VIDEO] Unai tepati ramalan

Unai Emery akhirnya meninggalkan Arsenal selepas prestasi buruk skuad bimbingannya sejak awal musim ini. Perlawanan terakhir kendaliannya pada saingan Liga Eropah awal Khamis lepas menyaksikan Arsenal kecundang 2-1 keatas Eintracht Frankfurt di Stadium Emirates.

Perlawanan itu turut mencatat sejarah apabila bangku penonton dalam stadium dilihat kosong sebagai isyarat jelas kepada pihak pengurusan untuk memperbetulkan keadaan semasa pasukan. Akhirnya, selepas 18 bulan berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih Arsenal, Unai Emery secara rasmi meninggalkan pasukan dan kekosongan tersebut akan diisi secara sementara oleh pembantu jurulatih yang juga bekas pemain skuad The Gunners, Freddie Ljungberg.

Sepanjang perkhidmatan bersama kelab utara London itu, Unai telah berjaya membawa Arsenal untuk mara ke perlawanan akhir Liga Eropah pada musim lepas namun tewas kepada Chelsea pada perlawanan tersebut. Walaupun membawa masuk beberapa pemain baru bagi menguatkan pasukan pada jendela perpindahan lepas tetapi prestasi pasukan masih di takuk yang lama.

Malah, ramai yang mempersoalkan kesebelasan utama yang selalu digunakan oleh Unai pada setiap perlawanan. Untuk rekod, Arsenal gagal mencapai sebarang kemenangan pada tujuh perlawanan terdahulu dalam semua kejohanan. Perkara positif yang dibawa oleh Unai ke dalam pasukan hanyalah pada ketajaman penyerang utama, Pierre Emerick Aubameyang yang berjaya meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lepas.

Penggantinya, Freddie Ljungberg kini memikul tugas berat untuk memperbaiki kedudukan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Disamping itu, keserasian pemain juga memainkan peranan yang penting dalam menyerap taktikal baru yang akan diguna pakai pada perlawanan akan datang.