Selepas hanya semusim di Kuala Lumpur, Khair Jones akhirnya kembali ke Melaka United bagi musim 2020.
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini menyertai Melaka pada 2016 dan menjadi watak penting dalam kesebelasan utama selama tiga musim.
Prestasinya di Melaka juga membantu beliau meraih tempat dalam skuad kebangsaan.
Namun sejak menyertai Kuala Lumpur awal tahun ini, Khair gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
Malah, Kuala Lumpur mengakhiri saingan liga di kedudukan terakhir dengan mengumpul 14 mata dan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Turut mengikut jejak langkah Khair adalah Ferris Danial Mat Nasir yang pernah membarisi skuad Hang Tuah pada musim 2016.
Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini beraksi di Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana selama dua musim.
Selain itu, Melaka turut mengumumkan Nurridzuan Abu Hassan sebagai pemain baharu bagi musim depan.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu beraksi di Selangor selama dua musim, yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga.
Beberapa pemain baharu Melaka ini dilihat sebagai satu nilai tambah, setelah Safiq Rahim melanjutkan kontraknya bersama Melaka pada musim 2020.
Selain itu, Melaka juga mengumumkan Uche Agba sebagai import baharu musim depan.
Pemain berusia 33 tahun yang berasal dari Nigeria itu menjaringkan tujuh gol bersama PDRM musim lalu.
Seorang lagi pemain import, Deshorn Brown juga dijangka menyertai Melaka dalam masa terdekat.