Eropah Berita

[VIDEO] Klinsmann jurulatih baru Hertha Berlin

Bekas pengendali pasukan bola sepak antarabangsa Jerman, Jurgen Klinsmann telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Hertha Berlin yang baru bagi menggantikan tempat Ante Covic yang dipecat sebelum ini lapor BBC.com .

Ante Covic mula berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih bagi pasukan Hertha Berlin sejak Julai lepas dan dipecat pada 15 November yang lalu. Ini berikutan prestasi Hertha Berlin yang hampir terjerumus ke dalam zon penyingkiran serta gagal memperoleh sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir. Hertha Berlin tewas empat kali berturut-turut pada saingan Bundesliga Jerman sebelum ini.

Covic berkata, ‘ini merupakan keputusan yang sukar diterima kerana Hertha Berlin bukan hanya majikan kepada saya. Tetapi saya selalu ulang, pasukan ini lebih penting daripada individu. Saya cintakan profesion dan kelab ini sepenuh hati.’ 

Sementara itu, Pengarah Sukan Hertha Berlin turut mengakui ianya bukan satu keputusan yang mudah kerana Ante Covic telah berada bersama pasukan lebih daripada 20 tahun. ‘Kami kesal akan tindakan ini tetapi demi perkembangan dan kebaikan pasukan, ada sesuatu yang perlu dilakukan’, tegasnya lagi.

Klinsmann yang merupakan bekas pemain Tottenham Hotspur, Inter Milan, dan Bayern Munich telah dinamakan sebagai pengganti Covic pada November dan dijangka akan memulakan perlawanan pertama bersama pasukan pada aksi hujung minggu ini menentang Borussia Dortmund di halaman sendiri.