Malaysia Berita

FAM, PDRM beri peringatan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  mengumumkan bahawa kesemua tiket bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 diantara Malaysia dan Indonesia pada Selasa ini telah habis terjual sejak petang tadi.

Ini juga bermakna tiada penjualan tiket di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil bagi perlawanan tersebut. 

Tiket Telah Habis TerjualTiket perlawanan #AsianQualifiers Malaysia lwn Indonesia, Selasa ini telah pun habis terjual…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Sunday, 17 November 2019

Dalam perkembangan berkaitan, FAM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama penonton tempatan untuk tidak menjual tiket kepada penyokong pasukan lawan. Perkara ini bagi mengelakkan sebarang isu keselamatan berlaku serta aliran kemasukan penyokong ke dalam stadium pada Selasa ini.

Sebelum ini telah berlaku insiden dimana jumlah penyokong pasukan Thailand mencecah 5,000 orang sedangkan peruntukan yang ditetapkan hanya sejumlah 2,500 orang sahaja. Insiden tersebut berlaku pada Khamis lepas ketika Malaysia melayan kunjungan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Situasi sedemikian berlaku ekoran sikap tidak bertanggungjawab penyokong tempatan yang menjual tiket kepada penyokong lawan sekaligus menyukarkan pihak keselamatan untuk menempatkan para penyokong pelawat di tempat yang sepatutnya.

Oleh yang demikian, FAM dan PDRM meminta kerjasama daripada penyokong tempatan untuk tidak mengulangi perkara yang sama dengan menjual tiket kepada penyokong pihak lawan kerana ini akan menyukarkan kelancaran kemasukan masuk ke dalam stadium buat penyokong pelawat.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata kerjasama yang diberikan semua pihak mampu menangani masalah tersebut dan dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

Dalam pada itu, FAM telah memperuntukkan sejumlah 4,500 tiket bagi pasukan Indonesia seperti mana yang dimohon oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi perlawanan pada Selasa ini.