Kolum Eropah

Wenger tolak tawaran demi Arsenal

Penganalisis bola sepak bEIN SPORTS, Arsene Wenger menjelaskan bahawa dia beliau ada menerima tawaran daripada beberapa kelab dalam Liga Perdana Inggeris sebelum ini. Namun, beliau menolak atas faktor hubungan rapatnya dengan bekas kelab lama, Arsenal lapor Goal.com .

Pakar taktikal berbangsa Perancis itu menegaskan beliau tidak boleh mendedahkan kelab mana yang cuba mendapatkan khidmatnya atas sebab tertentu. Wenger yang berusia 69 tahun merupakan pengurus paling lama pernah berkhidmat di kem The Gunners selama 22 tahun. Sepanjang kariernya bersama Arsenal, beliau telah memenangi tiga kejuaraan liga, tujuh Piala FA, dan juga mencipta sejarah bersama skuad ‘The Invincibles’ pada musim 2003-2004.

‘Saya adalah lelaki Arsenal dan saya profesional. Saya tidak boleh berhenti bekerja’, luah Wenger kepada Sky Sport News. 

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Kesetiaannya kepada Arsenal tidak berbelah bahagi. Ini yang menyebabkan penyokong Arsenal lebih menghargai beliau daripada beberapa bekas bintang Arsenal yang mengkhianati pasukan demi mengecap kejayaan. 

Dalam pada itu, Wenger telah dipilih sebagai penerima Anugerah Legenda Bola Sepak 2019 di London. Bekas musuh utamanya, Sir Alex Ferguson dan dua bekas pemain bintang Arsenal, Thierry Henry dan Francesc Fabregas yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut turut memberi ucapan penghargaan menerusi rakaman video.

Ternyata dunia bola sepak merindui kelibat Wenger. Henry dan Fabregas berharap agar Wenger akan kembali berkhidmat sebagai pengurus bola sepak buat kali terakhir selepas ini. Wenger sebelum itu memberi ucapan dengan mengatakan beliau berasa bertuah kerana diterima di England dan memuji negara tersebut atas semangat yang dipamerkan dalam sukan bola sepak.