Kolum Eropah

Lloris rehat panjang

Tottenham Hotspur bakal kehilangan ketua pasukan mereka, Hugo Lloris yang disahkan akan berehat panjang ekoran kecederaan siku ketika pertembungan bertemu Brighton & Hove Albion pada sabtu lepas.

Spurs tewas 3-0 dalam perlawanan tersebut dan kini tergelincir ke tangga kesembilan liga. Pengendali utama Spurs, Mauricio Pochettino berada dalam keadaan kritikal memandangkan pasukannya bergelut dalam mencari rentak sepanjang lima perlawanan yang lepas. 

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Memetik laporan Goal.com, Lloris disahkan akan berehat sehingga awal tahun depan. Ini juga akan memberi kesan kepada skuad kebangsaan Perancis. Pengendali pasukan kebangsaan Perancis, Didier Deschamps berkata kehilangan pemain ini memberi tamparan hebat walaupun dalam masa yang sama ia membuka ruang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan pada aksi Kelayakan Euro 2020 menentang Iceland dan Turki. 

Lloris mengalami kecederaan tersebut selepas cuba untuk menangkap hantaran silang Pascal Gross sebelum terjatuh dan memberi peluang buat Neal Maupay menguis bola masuk ke dalam gol.

Berdasarkan rekod semasa, Spurs tewas empat daripada lima perlawanan sebelum ini termasuk ketika diratah Bayern Munich 7-2 minggu lepas. Ketiadaan Lloris juga akan memeningkan kepala Pochettino yang terpaksa akur untuk menggunakan penjaga gol pilihan kedua, Paulo Gazzaniaga.

Spurs hanya memenangi tiga daripada 11 perlawanan dalam semua kejohanan setakat ini termasuk kekalahan menentang Colchester United menerusi sepakan penalti bulan lepas. Spurs akan bertemu Watford selepas selesai aksi antarabangsa pada 19 Oktober depan.