Kolum Eropah

Bayern rebah

Penyandang juara Bundesliga Jerman, Bayern Munich menerima nasib yang sama seperti Inter Milan apabila tewas buat pertama kali dalam saingan liga pada hujung minggu lepas.

Dua gol Sargis Adamyan memadam rekod bersih anak buah Niko Kovac di gelanggang sendiri. Kekalahan tersebut menyaksikan Bayern jatuh dua anak tangga dibelakang Monchengladbach dan Wolfsburg.

Bayern yang baru sahaja berpesta gol ketika menentang Tottenham Hotspur pertengahan minggu lepas tewas mengejut ditangan pasukan yang berada di kedudukan ke-12 liga. Perubahan kesebelasan utama mungkin menjadi faktor utama kekalahan ini. 

(Photo by Sebastian Widmann/Bongarts/Getty Images)

Bayern mendominasi perlawanan dengan 20 percubaan dihasilkan tetapi hanya sekali sahaja berjaya diterjemah kepada gol. Ianya agak mengecewakan kerana pasukan lawan menggunakan taktik menyerap serangan dan mereka memanfaatkan peluang yang ada dengan menjaringkan dua gol bermakna pada separuh masa kedua.

Niko Kovac cuba untuk mengamalkan sistem putaran pemain supaya pemain-pemain utama tidak mudah untuk mengalami kecederaan. Bayern akan kembali beraksi pada 19 Oktober selepas tamat saingan antarabangsa.

Namun begitu, konsistensi penyerang utama, Robert Lewandowski perlu diberi pujian. Lewandowski merupakan satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan yang disertai musim ini dalam semua kejohanan. Ini juga merupakan berita baik buat Niko Kovac.