Luar Negara Kolum

FPL: Pemain tumpuan

Aksi Liga Perdana Inggeris menuju ke perlawanan kelapan pada minggu ini sebelum berehat seketika bagi memberi laluan kepada saingan antarabangsa.

Perlawanan tumpuan minggu ini adalah pertembungan diantara dua pendatang baru, Norwich City menentang Aston Villa. Kedua-dua pasukan dipisahkan oleh satu mata yang mana menyaksikan Norwich berada diatas Aston Villa dengan mengutip enam mata. Untuk rekod, Norwich dan Liverpool merupakan dua pasukan yang masih belum pernah mencatat keputusan seri dalam liga setakat ini.

Pendahulu liga, Liverpool pasti mahu melebarkan jurang mata dengan memburu kemenangan kelapan pada aksi menentang Leicester City di Anfield. The Reds yang agak bergelut untuk mencari gol pada perlawanan menentang Sheffield United pada sabtu lepas sudah semestinya mengharapkan trio mereka Sadio Mane, Mohamed Salah, dan Roberto Firmino untuk meledak gol.

Tiga pemain tumpuan pada minggu ini dipilih melalaui persembahan semasa dan kebolehan untuk menyumbang mata kepada para pengurus FPL.

Sergio Aguero

(Photo by Michael Regan/Bongarts/Getty Images)

Pemain antarabangsa Argentina ini masih belum pernah gagal menyumbang mata dalam mana-mana perlawanan. Berdasarkan analisa, Aguero telah menyumbang 59 mata daripada tujuh perlawanan yang mana merangkumi lapan gol dan dua bantuan gol. Menentang Wolverhampton Wanderers di halaman sendiri pasti menjadi kelebihan buat bekas penyerang Atletico Madrid ini. Tambahan pula, Wolves masih bergelut dalam tujuh perlawanan dan baru mencatat kemenangan pertama selepas enam perlawanan.

 

Pierre Emerick Aubameyang

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Penyerang berbisa Arsenal ini seolah-olah berperanan sebagai penyerang tunggal atas ketiadaan Alexander Lacazette yang menghadapi kecederaan. Nicholas Pepe pula masih gagal membuktikan aksi yang bernilai 72 juta. Aubameyang dilihat akan terus menyumbang gol buat Arsenal pada aksi seterusnya menentang Bournemouth di Stadium Emirates. Penyerang Gabon ini telah menghasilkan tujuh gol dan satu bantuan gol daripada tujuh perlawanan. Aubameyang hanya gagal menyumbat gol ketika pertembungan menentang Liverpool di Anfield.

 

Tammy Abraham

(Photo by Johnny Fidelin/Icon Sport via Getty Images)

Walaupun gagal menyumbang mata dalam kuantiti luar biasa pada dua perlawanan sebelum ini, namun pemain ini dilihat sudah bersedia untuk kembali meletakkan nama dalam senarai penjaring gol. Melihat kepada prestasi anak buah Frank Lampard, mereka lebih selesa mempamerkan aksi terbaik ketika bermain di gelanggang lawan. Aksi menentang Southampton pasti menjadi sesuatu yang dinantikan Abraham. Penyerang muda ini baru sahaja menjaringkan salah satu gol Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang Lille dua hari lepas.