Malaysia Berita

Eksperimen Tan Cheng Hoe

Pagi tadi telah berlangsung sidang media Pra-perlawanan antarabangsa tier 1 diantara Malaysia dan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sidang media tersebut dihadiri wakil daripada kedua-dua pasukan iaitu Tan Cheng Hoe dan Nizam Packeerali selaku pengendali pasukan serta Aidil Zafuan dan Kavindu Ishan selaku wakil pemain bagi pasukan masing-masing.

Perlawanan Malaysia menentang Sri Lanka dijadualkan pada esok malam jam 8:45 bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengendali skuad Harimau Malaya berkata, beberapa pemain menghadapi kecederaan berikutan jadual perlawanan Piala Malaysia yang agak padat dan perkara sedemikian sedikit sebanyak menggganggu percaturan beliau.

Tambahnya lagi, perlawanan menentang Sri Lanka akan menjadi medan eksperimen buat pasukan negara yang kini dibarisi 26 orang pemain. Terdapat beberapa versi kesebelasan utama yang telah dicuba ketika sesi latihan. Pastinya perlawanan ini bakal membuka ruang buat pemain seperti Daniel Amier, Azizan Nordin, dan Halim Saari.

Beliau turut berkata tiada pelan untuk memanggil mana-mana pemain baru sehingga selesai perlawanan menentang Sri Lanka. Namun, setiap pemain yang dipilih perlu mempamerkan prestasi yang cemerlang serta perlu berada pada tahap kecergasan yang terbaik sebelum berangkat ke Vietnam. Seramai 23 orang pemain akan dibawa dan senarai pemain tersebut akan diumumkan selepas tamat perlawanan menentang Sri Lanka malam esok.

Dalam pada itu, pemain berpengalaman negara, Aidil Zafuan berharap dapat membantu pasukan negara untuk mencapai misi mengutip mata penting. Beliau juga akan memberikan persembahan terbaik andai diberi peluang untuk beraksi serta akan menggunakan pengalaman yang ada untuk mengisi kelompongan di barisan pertahanan.