Malaysia Berita

Syafiq semakin garang

Anak buah Tan Cheng Hoe membelasah Sri Lanka 6-0 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Penyerang sensasi negara, Syafiq Ahmad bertindak cemerlang dengan mencetak hatrik pertama bersama skuad kebangsaan serta mencipta dua bantuan gol dalam perlawanan yang disaksikan 7293 orang penonton. Tiga lagi gol disumbangkan oleh Norshahrul Idlan Talaha, Shahrul Saad, dan Akhyar Rashid. Tiga gol dijaringkan pada setiap babak membuktikan Malaysia begitu dahagakan kemenangan.

Skuad Harimau Malaya tampak selesa pada keseluruhan permainan dengan menampilkan aksi bertenaga. Tan Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran pemain dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Aidil Zafuan Abd Radzak, Akram Mahinan, dan Akhyar Rashid.

Pada separuh masa kedua, beberapa pemain dibawa masuk memandangkan perlawanan ini bertujuan untuk persiapan bagi menghadapi Vietnam pada khamis depan. Pemain-pemain yang diberi peluang untuk beraksi termasuklah Daniel Amier, Dominic Tan, Adam Nor Azlin, Azzizan Nordin, Syahmi Safari, dan Abdul Halim Saari.

Barisan serangan pasukan Malaysia tiada masalah untuk menghasilkan jaringan pada perlawanan ini. Sri Lanka yang merupakan pasukan yang menghuni ranking ke-202 bukanlah lawan sebenar dan ini juga berkemungkinan menyumbang kepada faktor jaringan besar yang dihasilkan. 

Perkara yang perlu diberi perhatian ialah sejauh mana berkesannya barisan pertahanan Malaysia yang belum diuji di tahap sebenar. Persoalannya ialah adakah dengan kehadiran Aidil Zafuan di barisan pertahanan mampu untuk menutup segala kelompongan dan kecuaian yang dilakukan pada aksi sebelum ini menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Skuad kebangsaan perlu mengekalkan rentak permainan seperti sebelum ini dan memperbaiki kesilapan lepas sekiranya mengidamkan tiga mata penuh pada aksi menentang Vietnam di Hanoi.