Malaysia Berita

Azam, Shahrel, Partiban tidak ke Hanoi

Sejurus selepas tamat perlawanan diantara Malaysia menentang Sri Lanka, pengendali skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa tiga pemain yang sebelum ini berada dalam senarai pemain yang akan ke Hanoi  terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.

Tiga pemain tersebut adalah Nor Azam Azih, Shahrel Fikri, dan J. Partiban yang mengalami kecederaan berikutan jadual ketat dalam saingan Piala Malaysia 2019. Ketiga-tiga pemain ini beraksi bersama pasukan masing-masing dalam saingan suku akhir pada minggu lepas.

Ini bermakna akan ada beberapa muka baru yang akan menggantikan tempat pemain-pemain ini. 

Tan Cheng Hoe juga memuji persembahan cemerlang Syafiq Ahmad yang berjaya menjaringkan hatrik dan memainkan peranan penting dalam perlawanan tersebut. Beliau turut berharap agar Syafiq dapat terus konsisten dalam perlawanan yang seterusnya.

Berkaitan persoalan ketiadaan Mohamadou Sumareh dalam skuad kebangsaan, beliau berkata pemain tersebut sedang menghadapi penggantungan perlawanan dan akan turut berangkat ke Hanoi bagi menguatkan pasukan kebangsaan. Untuk makluman, Sumareh telah digantung empat perlawanan berikutan aksi kurang sopan yang ditonjolkan terhadap pegawai perlawanan dalam aksi final kedua Piala AFF di Hanoi, Vietnam tahun lepas. Penggantungan tersebut pula hanya terpakai bagi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A. 

Dalam pada itu, Syafiq Ahmad berkata aksi cemerlang yang dipamerkan malam tadi bukanlah hasil persembahan individu tetapi hasil kerjasama satu pasukan. Pemain Johor Darul Ta’zim ini juga berharap agar dapat mengekalkan prestasi terbaik menjelang pertembungan menentang Vietnam pada khamis depan.