Kolum Eropah

Spurs kecundang

Finalis Liga Juara-Juara Eropah musim lepas, Tottenham Hotspur dikejutkan dengan kekalahan keatas pasukan divisyen dua, Colchester United pada perlawanan Piala Carabao. Selepas terikat tanpa jaringan, Colchester United menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Pasukan Mauricio Pochettino seperti hilang arah tuju semenjak dua menjak ini. Mereka nampak seperti sudah menemui rentak dengan kembalinya peledak Korea Selatan, Heung Min Son daripada penggantungan tiga perlawanan dengan menewaskan Crystal Palace 4-0. 

Namun, seperti ada yang tidak kena dalam perlawanan seterusnya. Spurs diikat Olympiacos 2-2 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah sebelum tewas mengejut kepada Leicester City 2-1 pada hujung minggu lalu. Lebih mengeruhkan keadaan apabila mereka tewas kepada pasukan bukan pilihan yang menghuni tangga ke-10 Liga Divisyen Dua.

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Andai alasan utama yang diberikan ialah atas sebab menurunkan pemain muda, ianya seperti tidak masuk akal. Jika dilihat kembali senarai kesebelasan utama yang diturunkan, hanya tiga pemain muda yang digunakan iaitu Japhet Tanganga, Oliver Skipp, dan Troy Parrott. Pasukan gergasi yang lain seperti Liverpool, Manchester City, Chelsea, dan Arsenal juga menurunkan pemain muda dan pasukan kedua tetapi masih mampu mencatat kemenangan selesa.

Lebih memburukkan keadaan apabila melihat kegagalan dua pemain berpengalaman, Lucas Moura dan Christian Eriksen gagal menyempurnakan sepakan penalti. Persoalan yang paling utama disini bagaimana Spurs dengan barisan pemain utama masih gagal mendapat kemenangan. Malah, mereka hanya beraksi tanpa penggempur utama, Harry Kane dalam perlawanan tersebut. 

Justeru itu, Mauricio Pochettino dijangka akan mengubah percaturan pada aksi seterusnya dalam liga menentang Southampton sebelum mereka bertemu Bayern Munich pada minggu depan.