Malaysia

Aidil dipanggil

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah mengeluarkan senarai 25 pemain bagi menggalas tanggungjawab di peringkat antarbangsa.

Secara umumnya, beliau masih mengekalkan barisan pemain yang sama ketika beraksi pada dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum ini. Hanya seorang pemain yang telah digugurkan iaitu penyerang pasukan Felda United, Hadin Azman.

Dua pemain baru telah dipanggil bagi menguatkan skuad kebangsaan iaitu bekas ketua pasukan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Abdul Halim Saari. Kehadiran Aidil sudah pasti bagi membantu benteng pertahanan Malaysia yang sedikit longlai pada aksi menetang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengalaman Aidil juga ditagih bagi menyuntik semangat kepada pasukan untuk terus mengutip mata pada perlawanan seterusnya. Pemilihan Aidil dilihat bukan sekadar atas kapasiti pemain lama tetapi lebih kepada prestasi semasa bersama Johor Darul Ta’zim (JDT). Kali terakhir Aidil menyarung jersi Harimau Malaya ialah pada tahun lepas pada aksi Piala AFF 2018. Beliau juga pernah mengumumkan persaraan daripada mewakili skuad kebangsaan pada tahun 2016 kerana ingin memberi peluang kepada pemain muda yang lebih berbakat. 

Tan Cheng Hoe semestinya ingin melihat para pemain untuk terus konsisten dalam merebut slot ke pusingan seterusnya. Kecemerlangan prestasi semasa pemain seperti Matthew Davies, Syafiq Ahmad, dan Mohamadou Sumareh sekali lagi menjadi sandaran. Selain itu, tujuh pemain diletakkan dalam senarai bersedia. Antara pemain yang disenaraikan ialah Hadin Azman, Syazwan Andik Ishak, Khairul Fahmi Che Mat, Jafri Firdaus Chew, Amirul Azhan Aznan serta dua muka baru  Azzizan Nordin dan Rawilson Batuil.

Malaysia dijadualkan bertemu Sri Lanka dan Hong Kong sebagai perlawanan persahabatan serta melayan kunjungan Vietnam pada 10 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Dua perlawanan persahabatan yang diadakan dilihat sebagai aksi pemanas badan sebelum berentap untuk misi penting memungut tiga mata.