Kajian & Analisis

Kerapuhan benteng Arsenal

Persembahan meragukan Arsenal sejak akhir-akhir ini begitu merisaukan para peminat setia mereka. Tiada lagi corak permainan cantik seperti yang dipamerkan seperti dahulu serta hilangnya kredibiliti mereka sebagai pasukan yang digeruni dalam saingan liga mahupun dalam saingan eropah.

Selepas aktif dalam jendela perpindahan pemain yang lepas dengan membawa masuk beberapa muka baru, skuad bimbingan Unai Emery masih tidak menunjukkan tanda-tanda positif dan perubahan yang ketara. Kerisauan ini begitu menggusarkan kerana Arsenal kerap kali melepaskan peluang untuk mengutip tiga mata sama seperti apa yang berlaku pada musim lepas. 

Bahagian serangan The Gunners setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik walaupun dilihat seperti meletakkan beban diatas bahu penyerang utama, Pierre Emerick Aubameyang yang telah menyumbang tujuh jaringan. 

Pemain yang baru dibawa masuk, Pepe masih gagal menunjukkan sebarang impak pada bahagian serangan walaupun menjaringkan satu gol pada aksi menentang Aston Villa hujung minggu lalu. Peminat Arsenal tidaklah mengimpikan permulaan luar biasa seperti yang dilakukan Mohamed Salah bersama Liverpool pada musim 2017/2018, tetapi cukup sekadar persembahan yang berbaloi dengan harga yang dibeli. Untuk info, Nicolas Pepe adalah pemain termahal yang dibeli Arsenal dengan harga 72 juta.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

 

Perkara yang paling membimbangkan ialah kerapuhan benteng Arsenal yang dikemudi pemain berpengalaman David Luiz dan Sokratis Papastathoupoulos dimana seringkali melepaskan gol mudah buat pasukan lawan. Arsenal telah dibolosi sebanyak 10 kali pada kancah liga. Sudah terang lagi bersuluh bahawa gandingan pertahanan ini bermasalah. Walaupun Arsenal telah menandatangani pertahanan muda Perancis, William Saliba, namun khidmat pemain tersebut hanya dapat digunakan pada musim depan atas perjanjian yang telah dipersetujui.

Tiga pemain pertahanan Arsenal, Rob Holding, Hector Bellerin, dan Kieran Tierney yang kini dalam fasa pemulihan bakal menjadi sandaran utama buat Unai Emery yang semakin gelisah dengan persembahan anak buahnya. Kehadiran mereka akan membantu pasukan dalam merebut kejuaraan liga pada musim ini.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

 

Selain daripada itu, faktor pemilihan pemain yang terpaksa bermain pada bukan posisi asal juga menjadi punca utama kelemahan pertahanan Arsenal. Sebagai bukti, Ainsley Maitland-Niles yang diletakkan sebagai bek kanan sebenarnya bermain di posisi tengah.

Perkara ini juga pernah berlaku pada zaman Arsene Wenger yang mana beliau telah meletakkan Mathiue Flamini sebagai bek kiri sedangkan pemain tersebut bermain sebagai pemain tengah. Apa yang membezakan kedua-dua keadaan ini adalah pada kualiti pemain pertahanan tengah. Wenger menurunkan kombinasi Sol Campbell dan Kolo Toure di bahagian pertahanan tengah dan kualiti mereka berdua tidak dapat dinafikan lagi. Malang buat Unai yang hanya mampu meletakkan dua benteng utama yang tidak kukuh. 

Secara realiti, Unai perlu segera mencari jalan penyelesaian jika mengimpikan untuk menjulang piala pada musim ini. Jika tidak, Arsenal akan terus menjadi pesaing liga yang tiada mentaliti juara serta sekadar menjadi pasukan belasahan menentang gergasi eropah.