Berita

Abraham julang The Blues

Chelsea menumbangkan Wolverhampton Wanderers 5-2 di Stadium Molineux malam tadi. Kemenangan kedua The Blues lebih manis apabila penyerang muda, Tammy Abraham muncul wira dengan menjaringkan tiga gol. 

Lima gol yang dihasilkan anak buah Frank Lampard datang daripada pemain akademi iaitu Fikayo Tomori, Tammy Abraham, dan Mason Mount. Walaubagaimanapun, satu jaringan gol sendiri Tammy Abraham dan Patrick Cutrone mengurangkan defisit jaringan bagi pasukan tuan rumah.

Wolves yang dikenali dengan kebolehan mencuri mata menentang pasukan besar dalam kancah Liga Perdana Inggeris kali ini kecundang. Pasukan kendalian Nuno Espirito dilihat masih bergelut selepas lima perlawanan dan belum mencatat sebarang kemenangan.

Chelsea yang mencatat kemenangan kedua malam tadi telah membuat beberapa perubahan pemain dan taktikal. Marcos Alonso, Willian, dan Antonio Rudiger kembali menguatkan skuad. Formasi 3-4-2-1 yang digunakan Frank Lampard lebih berkesan dengan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya. Memanfaatkan lima daripada enam percubaan tepat ke arah gol menjadi kunci kemenangan The Blues yang kini menghuni tangga keenam liga.

Pemain muda yang pernah dipinjamkan ke Aston Villa, Tammy Abraham telah mengumpul tujuh jaringan selepas tamat perlawanan malam tadi. Kecemerlangan pemain tengah Chelsea, Mason Mount yang konsisten dalam setiap perlawanan juga perlu diberi pujian. Ternyata, kepercayaan yang telah diberi Frank Lampard kepada pemain muda ini tidak dipersiakan. Mount juga telah membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan England ketika menang 4-0 menentang Bulgaria pada minggu lepas.