Berita

Pukki buat hal lagi

Pasukan baru dalam kancah Liga Perdana Inggeris, Norwich City terus membuat kejutan apabila membenam Manchester City 3-2 di halaman sendiri. Gol tuan rumah dihasilkan oleh Kenny Mclean, Todd Cantwell, dan Teemu Pukki manakala Sergio Aguero dan Rodrigo menghadiahkan gol saguhati buat pasukan pelawat.

Penyerang The Canaries, Teemu Pukki mempamerkan aksi konsisten dengan menyumbat gol kemenangan dan membuat satu bantuan gol. Beliau yang dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan bagi bulan ogos kini telah mengumpul enam gol daripada lima perlawanan.

Walaupun Norwich dilanda kecederaan pemain, namun sokongan padu daripada penyokong sendiri membantu mereka membenam ego Manchester City. Pasukan tuan rumah tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan ketiga-tiga percubaan gol. 

Anak buah Pep Guardiola seperti hilang arah apabila ketinggalan 2-1 di separuh masa pertama sebelum kesilapan pemain pertahanan Argentina, Nicolas Otamendi yang memberi ruang buat Emi Buendia mencipta gol kepada Teemu Pukki sekaligus memusnahkan usaha untuk bangkit semula.

Kekalahan juara bertahan ini bukanlah satu perkara yang pelik dan mustahil. Ini kerana Manchester City pernah tewas kepada Crystal Palace dengan jaringan yang sama pada musim lepas. Keyakinan yang terlalu tinggi serta memandang rendah pihak lawan punca The Citizens gagal mengutip mata penuh.

Statistik menunjukkan pasukan pelawat menguasai permainan dengan penguasaan bola sebanyak 69% dan lapan cubaan tepat. Namun, hanya berjaya mencipta dua jaringan. Pasukan kendalin Daniel Farke pula mencatat tiga cubaan tepat ke arah gol dan menyempurnakan kesemuanya. Inilah bukti bahawa ketajaman pemain serangan begitu penting dalam mengejar kemenangan. Bola sepak tidak melihat kepada penguasaan bola tetapi melihat kepada jumlah jaringan gol yang terkumpul.