Malaysia

JDT, Kedah ikut jejak Pahang

Dua lagi pasukan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2019. Johor Darul Ta’zim dan Kedah melakar kemenangan di tempat lawan untuk menempatkan diri bersama-sama Pahang yang lebih awal melangkah ke pusingan suku akhir.

Dalam aksi di Stadium Petaling Jaya, Petaling Jaya City dikecewakan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim 3-2. Walaupun mendahului seawal minit pertama permainan melalui Bae Beom-Geun, tetapi pasukan pelawat bangkit mendahului 2-1 hasil jaringan dua pemain kebangsaan, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad. PJ City berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Washington Brandao. Namun, raja tandukan di Malaysia, Syafiq Ahmad berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-60.

Skuad Lang Merah pula menjinakkan Sang Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hasil jaringan Jonathan Bauman, Edgar, dan Baddrol Bakhtiar sekaligus melayakkan diri ke pusingan suku akhir. Manakala dua gol saguhati tuan rumah dihasilkan melalui sepakan penalti Lee Tuck dan Abdul Malik Mat Arif.

Terengganu dan PJ City masih berpeluang untuk melayakkan diri tetapi perlu mengutip mata pada perlawanan terakhir. Terengganu yang mengumpul sembilan mata, hanya perlu seri pada perlawanan seterusnya menentang PKNS, manakala PJ City perlu menang keatas PKNP untuk menentukan siapa yang lebih layak untuk slot ke peringkat seterusnya.