Piala Malaysia Berita

Pertemuan hangat di antara JDT dan PJ City

Pertemuan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Petaling Jaya City (PJ City FC) tidak akan berkisar kepada kisah membalas dendam.

Pertemuan kedua Piala Malaysia 2019 telah menyaksikan juara enam kali Liga Super, JDT bakal menyambut kedatangan anak buah K Devan pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam ini.

Pada aksi Liga Super musim ini, skuad K Devan berjaya menundukkan JDT di Larkin sekaligus memadam rekod tanpa kalah JDT.

Ini bukanlah pertama kali PJ City menewaskan JDT, pada musim lalu ketika masih dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), sebelum dijenamakan menjadi PJ City, pasukan ini telah berjaya menewaskan JDT di saingan peringkat kumpulan di Larkin.

Bagi jurulatih PJ City, K Devan percaya dengan kemampuan anak buahnya tetapi tidak mahu meletakkan apa-apa harapan biarpun pernah menewaskan JDT sebelum ini.

“Sebab kita dah buat dua kejutan (mengalahkan JDT), tetapi kali ketiga saya rasa bukan mudah untuk mengatasi pasukan itu.

“Dari segi formasi sama, tetapi mungkin kita perlu atur strategi mengikut kekuatan JDT.” Katanya kepada BH Sukan

Bagi pengendali JDT, Benjamin Mora pula menegaskan tiada istilah balas dendam di dalam kamus JDT sebaliknya beliau percaya dengan persembahan pasukan kendaliannya bagi meneruskan momentum kemenangan.

Tambah beliau lagi, kekalahan di tangan PJ City pada aksi Liga Super telah dilupakan dan mereka mahu lebih fokus kepada aksi Piala Malaysia.

“Jika kita memikirkan untuk membalas dendam, ianya pasti menjejaskan rentak permainan kerana pemain akan terlalu fokus untuk menebus kekalahan lalu. Sebaliknya mereka harus beraksi mengikut perancangan taktikal dan tidak bermain secara emosi.

“Yang penting, kami perlu berada di tahap terbaik dari aspek kecergasan dan kekuatan mental kerana tanpa dua elemen itu agar sukar untuk turun beraksi dengan konsisten dan boleh menjejaskan rentak permainan,” katanya kepada BH Sukan.