Piala Malaysia Berita

Mampukah Terengganu atasi Kedah?

Terengganu FC bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman bagi melayan juara Piala FA musim ini, Kedah pada aksi kedua Kumpulan A pada saingan Piala Malaysia, esok.

Kedah telah berjaya menundukkan pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan pertama aksi kumpulan dengan anak buah Aidil Sharin Sahak berjaya menjaringkan tiga gol untuk memberi kemenangan pertama kepada Kedah.

Jaringan Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman dan Shakir Hamzah berjaya meletakkan Kedah di kedudukan selesa bagi meneruskan rentak kemenangan.

Manakala pasukan TFC pula berjaya menewaskan PKNS FC, 3-1, Jumaat lalu dan sedang memandang kehadapan bagi meneruskan misi mencari tiga mata penuh.

Bagi pemain TFC, Muhammad Hafizal Mohamad percaya dengan kemampuan rakan sepasukannya dalam menyekat reputsi Kedah selaku juara Piala FA.

Tambah beliau lagi, TFC tidak akan memikirkan rekod pertemuan Liga Super musim ini biarpun TFC tewas 3-0 pada April lalu sebelum seri 2-2 pada aksi di Kuala Terengganu, Julai lalu.

“Namun, untuk pertemuan Khamis ini, kami tidak mahu memikirkan mengenai rekod itu biarpun beraksi di tempat mereka kerana perlawanan Piala Malaysia auranya ternyata berbeza berbanding Liga Super.

“Kami datang dan sudah bersedia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke Terengganu, jika mendapat tiga mata ia dianggap bonus buat kami sebagai bekalan untuk layak ke suku akhir piala berprestij itu,” kata Hafizal kepada BH Sukan.