Liga Super Malaysia Berita

Melaka ratah Felda enam gol tanpa balas

Felda United menjadi mangsa belasahan setelah dibenam Melaka United (MU), 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

MU turun dengan misi melengkapkan kemenangan bagi mengukuhkan lagi kedudukan di dalam Liga Super, manakala Felda United mencari tiga mata penuh bagi mengeluarkan diri mereka daripada zon penyingkiran.

Pada perlawanan terbabit, MU tidak menunggu lama untuk meraih gol pertama hasil rembatan kencang Patrick Reichelt seawal minit ke-4 perlawanan.

Setelah tercetusnya gol pertama, MU terus mencari bekalan selesa dan hasilnya rembatan kencang bekas pemain Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim menghadiahkan gol kedua buat MU.

Felda turun seperti pasukan yang hilang punca dan tujuan apabila benteng pertahanan mereka mudah dibolosi buat kali ke tiga menerusi Nazrin Nawi yang menerima hantaran daripada Luka Milunovic pada minit ke-35

Selepas membantu Nazrin mendapatkan gol ke tiga, Milunovic menambah koleksi gol MU dengan larian solonya yang menewaskan penjaga gol Norazlan Razali untuk gol ke empat MU.

Milunovic yang sebelum ini dipinjamkan ke Sabah berjaya meledak gol kelima MU pada separuh masa kedua apabila beliau berjaya menolak bola muntah Norazlan sebelum melengkap hatriknya pada minit ke-89.

Kemenangan terbesar ini memberi motivasi kepada jurulatih Zainal Abidin yang akan bertandang ke Kedah Sabtu ini.