Malaysia Berita

Irfan Bakti tinggalkan TFC

Selepas menerima kekalahan mengejut ke atas PJ City kelmarin, ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim bertindak melepaskan jawatan dan menyatakan rasa tanggungjawab ke atas kemerosotan prestasi pasukan.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husim Tengku Abdul Jalil dalam satu kenyataan malam tadu.

Segala tugas yang ditinggalkan oleh Irfan bakal digalas oleh Penolong Ketua Jurulatih, Mohamad Nafuzi Zain bagi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih buat sementara waktu.

“TFC diberi satu tamparan hebat dengan satu kekalahan teruk pada perlawanan menentang PJ City dalam suasana TFC sudah memiliki kelebihan tiga gol di separuh masa pertama dan akhirnya menerima kekalahan 3-5, PBSNT mengadakan satu mesyuarat khas berkenaan prestasi TFC bagi menilai kelemahan yang berlaku.

“Mengakui keadaan semasa pasukan TFC yang tidak menentu, Irfan Bakti dalam mesyuarat khas hari ini memanjangkan permohonan peletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC serta merta sebagai mengambil tanggungjawab di atas kemerosotan prestasi pasukan.

“Pihak pengurusan pasukan mengambil kira semua aspek dan bersetuju serta menghormati keputusan nekad dibuat Irfan Bakti di atas prestasi buruk pasukan.

“Hasrat peletakan jawatan itu diluahkan dengan kerelaan hati beliau dan hal ini akan dimuktamadkan melalui prosedur yang betul,” katanya dalam kenyataan itu.

Untuk rekod, Irfan telah berjaya menjuarai Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kali dalam sejarah TFC.

Apa yang tidak boleh dilupakan adalah kejayaan Irfan berjaya merangkul Naib Juara Liga Premier 2017 yang membawa TFC ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia 2018.

Justeru, bagi Tengku Farouk, segala jasa yang telah dituai oleh Irfan tidak akan dilupakan

“Seluruh keluarga besar bola sepak Terengganu tidak harus melupakannya,” katanya.