Liga Super Malaysia Berita

Selangor vs Kedah : Ifedayo jadikan Kedah mangsa pertama

Penyerang baharu Selangor, Ifedayo Olusegun Omosuyi menunjukkan belangnya apabila meledak hatrik pada penampilan sulungnya bersama pasukan Red Giants ketika menewaskan Kedah 3-1, malam tadi.

Ifedayo berjaya membalas kepercayaan yang diberikan oleh pengendali pasukan, B Sathianathan ke atasnya dalam membuktikan bahawa beliau mampu untuk menjelmakan jaringan kemenangan kepada Selangor.

Permulaan 30 minit pertama agak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling menyerang ke kubu masing-masing.

Gol pembukaan tercetus pada minit ke-34 apabila Ifedayo menyambut baik hantaran daripada Sandro da Silva untuk gol pertama beliau bersama Selangor.

Tidak terhenti di situ, Ifedayo memanfaatkan kesilapan yang dilakukan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim untuk gol kedua perlawanan selepas Ifwat gagal menampan kemas dan memberi ruang kepada Ifedayo untuk menambah luka Kedah.

Masuk babak kedua, Kedah sepatutnya dengan mudah merapatkan jurang apabila Zaquan Adha Abdul Razak mempunyai peluang terhidang tetapi sayang ianya gagal disudahkan oleh kapten pasukan kebangsaan.

Malam gemilang untuk Ifedayo dilengkapkan pada minit ke-57 apabila beliau berjaya melengkapkan hatrik selepas menyempurnakan peluang terhidang yang tercetus daripada serangan balas pantas.

Tujuh minit selepas itu, Kedah mendapat gol saguhati menerusi Fernando Rodriguez Ortega.