Malaysia Liga Super Malaysia

Wan Jamak Wan Hassan bersedia kembali ke kancah bolasepak Malaysia

Masih ingat kepada Wan Jamak Wan Hassan?

Jurulatih kelahiran Johor itu pernah membimbing pasukan kebangsaan pada suatu masa dahulu. Namun, sejak meninggalkan PKNS FC pada tahun 2014, nama beliau memang jarang disebut oleh peminat bolasepak tempatan.

Sekarang, bekas jurulatih kebangsaan itu sudah bersedia untuk kembali ke kancah bolasepak tempatan, walaupun beliau tidak begitu berkenan untuk melatih sebarang pasukan Liga Super atau Premier.

“Sudah lama sebenarnya saya berehat dan sekarang ini terdetik juga di hati saya untuk kembali terbabit dalam bola sepak,” ujar Wan Jamak kepada Berita Harian.

“Bagaimanapun, saya lebih suka untuk melatih pasukan membabitkan pemain muda seperti skuad Piala Presiden. Sebab dari situ saya dapat membangunkan pemain. Setakat ini belum ada tawaran lagi, cuma saya akan cuba cari pasukan,” tambah beliau.

Selain pasukan kebangsaan Malaysia, Wan Jamak juga pernah membimbing pasukan Johor FA (1993-1995), Melaka TMFC (2006-2007), Negeri Sembilan FA (2008-2011), Kedah FA (2011-2012) dan juga PKNS FC (2013-2014).

Andai kata Wan Jamak berminat untuk melatih di peringkat senior, pasukan manakah yang perlu merisik Wan Jamak Wan Hassan secepat mungkin untuk musim 2018?