Malaysia Berita

FAM jumpa Menteri di Putrajaya

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, hari ini mengetuai delegasi FAM untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Putrajaya.

Kunjungan hormat itu bertujuan membincangkan perancangan masa depan FAM menerusi peta hala tuju F:30 serta elemen-elemen utama ke arah mencapai wawasan itu, termasuk proses naturalisasi untuk pemain asing dan warisan.

Dalam perjumpaan itu, Dato’ Haji Hamidin menyerahkan dokumen F:30 kepada Tan Sri Muhyiddin. FAM turut menyerahkan kertas kerja projek naturalisasi yang mengandungi syarat dan status FIFA, polisi Kerajaan Persekutuan, kontrak dan yuran perpindahan, kes-kes contoh, maklum balas daripada pemegang taruh serta peraturan pertandingan tempatan.

Peta Hala Tuju dan projek naturalisasi adalah antara agenda Dato’ Haji Hamidin sejurus dipilih sebagai presiden FAM pada Julai 2018.

Dalam perjumpaan itu, Dato’ Haji Hamidin diiringi oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM dan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam.

“Projek naturalisasi ini bukan agenda utama FAM tetapi ia adalah antara usaha jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk melonjakkan standard skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program-program pembangunan yang sedia ada.

“Kami mengambil kesempatan membincangkan proses naturalisasi kepada Tan Sri memandangkan Tan Sri mempelopori projek menaturalisasikan atlet seperti Yuan Yufang (olahraga), Irina Maharani (menembak) dan Hidayat Hamidon (angkat berat) untuk Sukan Komanwel 1998.

“Pada masa yang sama FAM membincangkan hala tuju dan perancangan strategik dalam sesi dua hala dengan Tan Sri,” kata Dato’ Haji Hamidin. – FAM